Rindu abah
Pagi tadi mimpi abah, mimpi yang agak mengarut. Abah pandu van dengan semua anak-anak ada dalam van. Kitorang macam 'eh, abah mana blh memandu' dan tiba-tiba abah langgar rumah orang. kitorang tak marah pun sebab sedar abah memang sakit.
So pagi-pagi dah sedih. Teringat kat arwah abah. Tuela orang selalu kata, masa hidup anak-anak take for granted. Masa dah tiada, mula sedih-sedih bila teringat.
Abah seorang yang garang, mungkin sebab itu anak-anak tidak berani dekat. Namun masa di akhir hayat abah, Allah memang sayangkan abah dan kami sekeluarga kerana abah diambil masa bulan Ramadhan. Bulan dimana anak-anak akan makan bersama semasa berbuka. Pada bulan-bulan lain, jarang sekali kami makan bersama walhal abah suka kami semua makan bersama-sama. Pada masa berbuka juga anak-anak akan cuba layan abah sebab abah masa tue dah tak sihat. Aku masih ingat, ada hari yang abah jatuh berkali-kali dalam satu hari dan petang tue aku balik ke rumah dan jumpa abah, minta dia setuju buat pembedahan memandangkan cara-cara lain tidak berjaya. Bila aku bilang semula hari selepas abah pergi, hari yang dia asyik jatuh adalah hari ke 40 dari tarikh abah pergi. Hari yang dikatakan daun abah gugur dan masa kematian telah ditetapkan. Adakah suratan atau kebetulan?
Aku juga syukur sebab walaupun aku bukan anak yang baik, aku sempat juga gembirakan abah. Bawak abah balik melaka dan tidur di hotel walaupun murah abah suka sebab menghadap river cruise semasa kenduri kahwin Amin, anak Pokda beberapa minggu sebelum puasa. Abah nak sambung satu malam lagi tapi najwa tak setuju. Takut jadi apa-apa dan kami semua perempuan aje. Abang nazim marah sebenarnya kami bawa abah tidur hotel sebab abah kerap jatuh. Alhamdulillah takde apa-apa kejadian berlaku. Cuma mak cerita yang tengah malam mak ke bilik air, bila keluar tengok abah bukak pintu bilik luas-luas cari mak.
Aku juga lega yang kali terakhir aku jumpa abah masa dia masih sedar aku tak marah dengan abah dan salam sebelum pergi kerja. Hari sebelum tue aku rasa marah sebab abah asyik nak keluar dan mak lang sorok tongkat dia. Jadi dia suruh aku cari tongkat supaya dia boleh keluar. Kami cuma risau kalau apa-apa jadi ketika abah di luar. Aku cakap dengan diri sendiri yang aku tak boleh marah sebab bukannya tahu berapa lama abah ada lagi. Aku juga sempat bagitahu kat najwa & najmi beberapa kali mengenai perkara yang sama sebab kami sering kali rasa marah sebab abah selalu buat perkara yang membahayakan diri sendiri. Cuma aku tak sedar itulah hari terakhir.
Ya Allah, aku mohon pada mu agar Kau ampunkan doa abahku, kasihanilah dia sebagaimana dia mengasihaniku ketika aku kecil, luaskan & terangilah kubur abahku, jauhkanlah dari siksa kubur dan siksa api neraka & masukkanlah abahku dalam golongan orang-orang yang beriman. Amin.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home